SEJARAH PEMBUKAAN LABIS
Labis dahulunya adalah gabungan beberapa buah kampung Melayu, antaranya Kampung Paya Merah, Kampung Tenang dan Kampung Sg Gatom. Penduduk bersawah padi untuk mendapatkan beras sebagai sumber makanan utama, di samping menternak ayam dan itik kampung. Terdapat sebuah ladang getah yang dibuka oleh penjajah Inggeris dikenali sebagai North Labis Estate, di sekitar Labis dan ladang kelapa sawit di Chaah telah membawa kepada kemasukan kaum India sebagai buruh di ladang.
Bandar Labis, pekan Chaah dan Bekok pula, suatu masa dahulu adalah kawasan penempatan semula kaum Cina semasa berlaku darurat, di mana kerajaan membina rumah-rumah tersusun untuk menempatkan penduduk dari kawasan pendalaman dan hutan dari diburu atau dipengaruhi pengganas Komunis pada masa itu. Dan kini, ia semakin berkembang.
SEJARAH FELDA TENANG
Pada tahun 1806, bumi gugusan Tenang ini telah di buka oleh Haji Muhammad Ariffin yang lebih dikenali sebagai Tok Tenang. Semasa di Tebing Masjid Kampung Tenang, beliau telah menyatakan bahawa tanah tersebut amat sesuai untuk dijadikan sebagai sebuah penempatan untuk (keselesaan tempat tinggal) dan bercucuk tanam (kegiatan ekonomi) serta pusat ilmu (pendidikan agama) dan ianya telah berjaya dibuktikan.
Pada November 1962 pula, sekumpulan generasi daripada pelbagai latar belakang yang merupakan perintis peringkat pertama telah di bawa masuk ke tanah rancangan iaitu, Felda Tenang. Nama ‘Tenang’ diambil sempena nama individu yang membuka kawasan penempatan di Kampung Tenang ketika itu. Tanah rancangan ini terletak di kawasan yang berhampiran dengan Kampung Tenang, Sawah Bahru dan Pekan Air Panas.
Sebuah penempatan baru sudah semestinya memerlukan kerjasama daripada penduduknya untuk bergotong-royong membangunkan kawasan tersebut. Ketika tanah rancangan ini dibuka, penduduk setempat berusaha gigih dan bersama-sama membersihkan kawasan kebun serta perumahan mereka. Ketiadaan bekalan air dan elektrik ketika itu, tidak mematahkan semangat mereka untuk menjadi peneroka di Felda Tenang.
Sumber ekonomi penduduk felda ketika itu adalah dengan menoreh getah, bercucuk tanam dan membuat kerja-kerja kampung. Kini, setelah ditebang semula, sumber pendapatan warga Felda Tenang adalah dari hasil kelapa sawit.
Selain itu, tanah rancangan ini juga merupakan salah satu lokasi serangan gerila daripada Indonesia yang telah melakar sejarah negara pada tahun 1964. 2 September 1964 merupakan tarikh konfrantasi Malaysia-Indonesia dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’ telah menyusup masuk ke kawasan ini dan menggemparkan penduduk setempat ketika itu.
Satu Skodron (lebih kurang 100 anggota) yang diketuai oleh Leftenan Muda Sutikno telah ditugaskan mendarat di kawasan Labis, maka pada jam 1.00 pagi bertarikh 02.09.1964, Skodron tersebut telah mendarat di kawasan perkampungan Felda Tenang bersama bekalan senjata, kewangan dan keperluan makanan untuk 1 minggu. Menyedari kehadiran tentera asing yang tidak dikenali dikawasan perkampungan dan ladang setelah dilaporkan pihak tentera Malaysia telah membuat intipan tempat-tempat persembunyian tentera asing tersebut. Maka berlakulah pertempuran yang mengakibatkan beberapa tentera Indonesia terbunuh. Pejabat Felda Tenang pada masa itu telah dijadikan markas tentera Malaysia dan semua mayat tersebut dikumpulkan di pejabat Felda sebelum dibawa ke Balai Polis Labis.
Setelah masuk minggu kedua, Leftenan Sutikno menyedari kenyataan yang diberikan oleh pemerintahnya tidak benar, sebaliknya Malaysia lebih maju dari Indonesia dan diperintah oleh orang Melayu, kawasan pendaratan yang disangka hutan belantara sebenarnya telah menjadi kawasan penempatan orang-orang Melayu dengan tersusun, di mana tanaman utamanya adalah pokok getah.
Menyedari akan kekurangan bekalan makanan dan penipuan oleh pemerintahnya, pada malam Jumaat semasa penduduk Peringkat Dua mengadakan majlis Yassin di rumah NO. 189 (Mohd Akip bin Abd. Hamid), Leftenan Muda Sutikno membuat pengakuan untuk menyerah diri kepada kerajaan Malaysia.